HOME, POLITIK,SUKAN

wedget

Sunday, 3 July 2011

Demonstrasi boleh akibatkan kesan buruk terutama ekonomi - Dr. M

KUALA LUMPUR 3 Julai – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun demonstrasi dibolehkan di dalam amalan demokrasi, namun ia boleh meninggalkan kesan buruk bagi sesebuah negara terutama dalam bidang ekonomi.
Beliau berkata, sepertimana berlaku kepada Mesir ketika ini, negara itu kini berdepan dengan kemerosotan ekonomi yang begitu teruk selepas berlakunya demonstrasi besar-besaran menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak sebelum ini.
Katanya, Mesir yang selama ini amat bergantung kepada bidang pelancongan terpaksa berhadapan dengan masalah penurunan jumlah pelancong sehingga menyebabkan industri pelancongan negara berkenaan merudum.
“Saya baru kembali dari lawatan ke Mesir. Seperti kita semua maklum satu demonstrasi besar di Kaherah telah berjaya menjatuhkan kerajaan Hosni Mubarak.
“Tetapi kesan demonstrasi tidak terhad kepada kejatuhan kerajaan sahaja. Ekonomi Mesir merosot dengan amat teruk. Mesir yang banyak bergantung kepada pelancongan mengalami kemerosotan 80 peratus semasa demonstrasi berlaku. Hari ini pun pelancong belum kembali dan banyaklah hotel yang kosong,’’ katanya.
Beliau berkata demikian di dalam blognya http://chedet.co.cc/chedetblog di sini, semalam.
Dr. Mahathir berkata, apabila itu berlaku sudah tentu pemulihan ekonomi terganggu sekali gus menyebabkan kadar pengangguran meningkat dan mereka yang miskin bertambah derita.
“Hakikatnya, walaupun demonstrasi diterima dalam demokrasi, ia tidak boleh diguna dengan sewenang-wenangnya. Jauh daripada memberi manfaat kepada rakyat, ia menambah masalah kepada rakyat,’’ katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir menyifatkan perhimpunan yang dirancang oleh pihak Bersih sebagai usaha memburukkan kerajaan supaya pihak pembangkang meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.
Sambil mempersoalkan tujuan perhimpunan itu diadakan beliau menegaskan, parti-parti pembangkang di Malaysia boleh menang sepertimana yang berlaku pada 2008.
Katanya, umum mengetahui pada tahun itu parti-parti pembangkang berjaya menawan lima buah negeri dan berjaya mengurangkan ahli Dewan Rakyat sehingga tidak tercapai matlamat dua pertiga seperti yang biasa dimenangi oleh parti Kerajaan.
“Bandingkanlah dengan pilihan raya di negara-negara lain termasuk jiran terdekat kita di mana parti bukan kerajaan tidak dapat wakil dalam Dewan sama sekali. Yang menang daripada parti lawan akan dituduh dengan pelbagai tuduhan dan dihadapkan ke mahkamah.
“Maka mahkamah pun menghukum mereka salah dan tidak dapat mengambil tempat mereka dalam Dewan. Ada yang dibenar masuk tetapi tidak berani bercakap. Kalau bercakap tidak akan dilapor dalam media,’’ ujarnya.
Beliau berkata, pada pilihan raya yang baru lepas, banyak tekanan digunakan oleh kerajaan berkenaan hingga menyebabkan jumlah calon pembangkang yang menang adalah terlalu kecil.
“Malangnya di Malaysia parti yang berasas dari parti negara jiran ini yang ingin supaya negara ini juga menerima contoh pentadbiran negara jiran.
“Sepertimana parti di negara jiran, pada mulanya berjanji untuk mendirikan kerajaan yang baik dan adil. Apabila sahaja rakyat memberi kepercayaan, jenis pemerintahan yang didirikan jauh berbeza daripada apa yang dijanjikan,’’ katanya lagi.

No comments:

Post a Comment