HOME, POLITIK,SUKAN

wedget

Tuesday, 20 March 2012

SKUAD PENYU DIHUKUM

HASRAT Terengganu menduduki tangga teratas Kumpulan F Piala AFC tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 di tangan juara Hong Kong, Kitchee, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, semalam.
Juara Piala FA musim lalu yang yakin menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri itu, gagal menahan asakan pasukan lawan di separuh masa pertama hingga gawang dibolosi lawan seminit sebelum masa rehat.


Pasukan pelawat yang mengaku risau bermain dalam cuaca panas sejak tiba di Kuala Terengganu, Jumaat lalu, berjaya mengawal perlawanan dengan baik dan berpeluang mendahului lawan seawal minit kesembilan.

Namun, penyerang, Lo Chi Kwan yang cuma berdepan penjaga gol Terengganu terpaksa melihat tendangannya dihadang Sharmiza Yusoff yang sekali lagi turun mengambil tempat penjaga gol utama, Sarbinee Allawee yang masih belum pulih daripada kecederaan pangkal pahanya.


Kitchee yang beberapa kali mempunyai peluang menghasilkan gol akhirnya mendapat jaringan yang dicari menerusi Jordi Tarressa.



Ketinggalan satu gol mengubah corak permainan Terengganu yang mengamalkan corak menyerang di awal separuh masa kedua menyebabkan lawan cuma mampu bertahan dan mengekang asakan Terengganu Harapan tuan rumah mencari gol penyamaan lenyap pada minit ke-73 apabila Chu Siu Kei gagal dikawal Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dan menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran tepat Chi Kwan.

IBARAT KACANG LUPAKAN KULIT

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan hari ini menyifatkan keputusan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir keluar parti sebagai keputusan silap.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat ketika BN mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat teramai.

NONE
"Saya rasa itu keputusan yang silap. Ketika rakyat meninggalkan pembangkang, dia mengambil tindakan melawan arus," katanya yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad (atas, tengah) lagi, tindakan itu juga langkah mundur ke belakang apabila pandangan umum yang diperoleh melalui kajian ilmiah dan rambang mendapati sokongan rakyat bertambah kepada BN.

Abdul Kadir semalam mengisytiharkan meninggalkan Umno yang dianggotainya selama 56 tahun tetapi tidak menjelaskan sebab kenapa tindakan itu diambil.

Beliau sebelum ini menimbulkan perasaan tidak selesa pemimpin Umno, antaranya ekoran dakwaannya bahawa BN membayar pengundi kawasan parlimen Kulim-Bandar Baharu dalam pilihan raya umum lepas - yang menyebabkannya disiasat lembaga disiplin parti.

NONE
Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Ahmad bagaimanapun berkata beliau menghargai jasa-jasa Kadir selama beliau bersama Umno sebelum ini.

Sambil mengingatkan soal kesetiaan kepada parti, Ahmad juga secara sinis mengingatkan tentang seruan supaya anggota Umno patriotik dan cintakan parti selama ini yang sering diungkapkan Abdul Kadir (kanan).

"Walaupun beliau banyak jasa banyak berceramah ketika beliau ada jawatan tentang betapa cintanya beliau pada Umno, terutama serata alam beliau pergi, kumpulan orang, betapa kita mesti menjadi orang patriotik dan cintakan Umno, nampak gaya perkara itu hanya menjadi sejarah," katanya.

Ibarat kacang lupakan kulit
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan Abdul Kadir  meletak jawatan sebagai anggota Umno "seumpama kacang lupakan kulit".

ali rustam
Beliau berkata bekas Menteri Penerangan itu tidak mengenang jasa terhadap parti yang disertainya selama ini sehingga memegang pelbagai jawatan termasuk Anggota Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Menteri dan Menteri.

Bagaimanpun, katanya, tindakan itu tidak akan menggugat sokongan pengundi khususnya di Kulim-Bandar Baharu, Kedah terhadap BN.

"Mungkin hilanglah satu dua undi, tetapi ramai lagi yang menyokong BN," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Bersama (JKKB) negeri Melaka.
 
Mengenai kenyataan Abdul Kadir yang mendakwa BN membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum lepas, Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata ia merupakan satu kenyataan yang menghina mereka yang mengundi beliau (Abdul Kadir) sebelum ini. 

Katanya sebagai seorang yang banyak mendapat kebaikan daripada parti dan kerajaan, Abdul Kadir tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan BN.

"Mengikut pengalaman saya, yang mendapat duit hanya jentera parti, pengundi tidak mendapat duit," katanya.

Ubah wang haram: Bekas SU politik menteri didakwa

Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

NONE
Hasbie, 39, yang memakai sut kelabu membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 10 Feb tahun lalu, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.

Peguam Y Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. 

ISLAM DAN YAHUDI

Islam adalah agama yang menghormati semua keturunan manusia. Islam tidak menghukum seseorang disebabkan keturunannya. Islam juga tidak memaksa orang menganut Islam dan memerangi dan menghukum hanya kerana perbezaan agama.

Demikian seseorang Yahudi tidak boleh dihukum hanya kerana dia berketurunan Yahudi atau beragama Yahudi. Permusuhan berlaku antara masyarakat Yahudi dan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah disebabkan sikap permusuhan mereka terhadap Islam, bukan keturunan mereka.

Dalam sejarah Nabi SAW; baginda mempunyai isteri yang merupakan seorang Yahudi iaitu Safiyyah binti Huyai.

Sahabat Nabi SAW yang dianggap ilmuwan ‘Abdullah bin Salam, juga seorang Yahudi. Baginda Nabi SAW dalam urusan muamalat pernah menggadai barang kepada Yahudi.

Baginda juga menziarahi Yahudi yang sakit.

Ini menunjukkan kita boleh berbuat baik kepada Yahudi atas dasar persahabatan yang tidak mengkhianati Islam atau atas asas dakwah. Bahkan Al-Quran dalam Surah al-Maidah membenarkan perkahwinan dengan wanita Yahudi dan Kristian yang dikatagori sebagai Ahlul Kitab.

Maka, kenyataan yang menyatakan bahawa kita boleh berurusan Yahudi yang tidak menzahirkan permusuhan kepada umat Islam, adalah benar.

Adapun yang memerangi Islam, maka dia dimusuhi tanpa mengira apapun agamanya.

Firman Allah: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

Ayat di atas menjadi asas urusan antara muslim dan agama lain.