HOME, POLITIK,SUKAN

wedget

Sunday, 10 July 2011

Lucutkan kerakyatan Ambiga - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 10 Julai - Peserta perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam disifatkan sebagai penderhaka kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, malah, Datuk S. Ambiga sebagai penganjur Bersih juga perlu dilucutkan hak kerakyatannya.
"Ambiga sudah diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi akhirnya melawan titah Tuanku. Kalau di Thailand orang seperti ini sudah dihalau dan dilucutkan kerakyatannya," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ibrahim mendapat maklumat ada peserta perhimpunan haram itu dibayar upah.
"Kebanyakan peserta yang menyertai perhimpunan haram semalam bukan dari Kuala Lumpur. Mereka ini dari luar yang diupah bagi menyertai perhimpunan haram.
"Jika tidak dibayar, tiada siapa yang ingin datang turut serta," katanya.
Mengenai pembatalan perhimpunan yang dirancang Perkasa semalam, beliau berkata, keputusan itu diambil setelah mengambil kira semua nasihat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor selain menghormati perintah larangan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
"Sultan Sharafuddin menyampaikan salinan titah ucapan baginda kepada Perkasa sebelum solat Jumaat lagi. Kami berasa cukup serba salah untuk meneruskan perhimpunan ini.
"Tambahan pula, perkara ketiga tujuan penubuhan Perkasa juga adalah untuk memperkasakan institusi diraja," katanya.

Anwar petualang negara

KUALA LUMPUR 10 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah petualang negara serta dalang sebenar terhadap segala kekecohan yang berlaku termasuk pada perhimpunan haram semalam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, perangai 'hodoh' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak pernah berubah dari dulu sampai sekarang.
Menurut beliau, orang seperti Anwar tidak akan puas dan sanggup melakukan apa sahaja selagi nafsu dan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri tidak tercapai.
"Beliau (Anwar) pelakon terbaik, ini perangai dulu dan sampai sekarang tidak pernah berubah. Dalam perhimpunan di Baling, saya kata kepada rakan-rakan sejak dari zaman ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein lagi, dia dah tipu dah.
"Pada 1974, ramai mati kebuluran dan Anwar buat demonstrasi di Kuala Lumpur, zaman Tun Hussien Onn pun buat juga, zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad buat juga, lepas itu berehat sementara, negara aman dan selepas keluar buat pula perhimpunan Bersih 1.0 pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini buat lagi dengan penganjuran Bersih 2.0.
"Bagi Anwar dialah manusia sebaik-baiknya, anugerah Tuhan... inilah jenis manusia yang sebenarnya kita berdepan dengan masalah yang berlaku semalam (Bersih 2.0). Hendak sangat jadi Perdana Menteri hingga sanggup korbankan apa saja termasuk mengetepikan prinsip, soal bangsa dan agama asalkan nafsunya tercapai," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Penerangan Perdana bersama Perdana Menteri anjuran Ketua Penerangan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, macam-macam cerita mengenai Anwar tetapi sehingga kini banyak yang tidak dijawab oleh Penasihat PKR itu termasuk yang terbaru mengenai jam tangan Omega.
"Dalam isu video seks, Anwar kerap menyatakan itu bukan beliau walaupun dua pakar forensik video Amerika Syarikat (AS) mengesahkan 99.9 peratus pelaku dalam video itu miripnya.
"Dulu, Anwar cerita dia kena racun arsenik, tidak cukup dengan itu, suntikan HIV pula. Bagi dia, kita (kerajaan) ini dari zaman dulu sampai sekarang, semuanya buruk dan dialah manusia yang sebaik-baiknya," katanya.
Najib berkata, dulu, Anwar pernah mengatakan Pas bodoh serta menghentam Penasihat DAP, Lim Kit Siang semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO, tetapi sekarang mereka kawan baik yang dipeluknya.
"Kini, dia (Anwar) lihat Barisan Nasional (BN) sudah begitu baik, banyak pilihan raya kecil kita menang, di Hulu Selangor, Bagan Pinang, Galas, Batu Sapi, Tenang, Merlimau dan Kerdau. Di Sarawak pun kita menang.
"Jadi, dia melihat semua itu, dengan pendekatan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan gagasan 1Malaysia yang semakin diterima rakyat, dia bimbang sekiranya tidak lakukan sesuatu BN akan menang pada pilihan raya akan datang," katanya.
Beliau berkata, cara terbaik untuk menghadapi ancaman daripada orang seperti Anwar adalah dengan menggunakan kekuatan akal fikiran.

Tindakan Bersih dipersoalkan - TPM

SHAH ALAM 10 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan kewajaran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) meneruskan perhimpunan haram semalam yang dilihat hanya merosakkan keamanan negara yang diperjuangkan generasi terdahulu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Bersih tidak memperjuangkan apa yang mereka katakan dan ini terbukti kerana sepanjang perhimpunan haram semalam, tiada satu pun laungan mengenai pilihan raya yang bersih dan adil kedengaran.
Menurut beliau, tujuan Bersih untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin juga hanya alasan kerana jika benar mereka berniat berbuat demikian, ia sepatutnya telah dilakukan ketika pengerusinya, Datuk S. Ambiga menghadap Seri Paduka sebelum ini.
"Sudah 12 kali kita buat pilihan raya umum, tiada pihak yang cabar untuk adakan pilihan raya itu bersih dan adil. Mereka juga dah menang di lima negeri dan banyak pilihan raya kecil sebelum ini. Tapi bila di penghujung ini, BN (Barisan Nasional) banyak menang pilihan raya kecil, mereka mula takut.
"Itu sebab mereka buat begini (perhimpunan haram) untuk hasut rakyat rosakkan negara. Jadi, rakyat perlu sedar muslihat mereka agar keamanan yang dikecapi hasil perjuangan nenek moyang kita selama ini tidak musnah hanya disebabkan tindakan segelintir pihak ini," katanya.
Beliau berucap ketika menutup Konvensyen Guru-guru Muda Kebangsaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut melancarkan Skuad Jelajah Motivasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) 1Malaysia 2011 dan Portal Pendidikan Score A Mathvictory.
Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi GPMS, Jais Abdul Karim.
Muhyiddin turut mengajak rakyat menggunakan ruang dan tempat yang disediakan untuk bersuara dengan sebaik-baiknya secara bijaksana, bukan atas niat yang jahat.
Tidak menolak kemungkinan ada kelemahan dalam pentadbiran kerajaan, beliau berkata, ruang yang diberikan mesti digunakan untuk memperbaiki kelemahan itu ke arah membangunkan dan memperkukuhkan negara.
"Mungkin tidak 100 peratus (penduduk) setuju apa yang kerajaan buat. Dalam rumah pun kadang-kadang apabila mak suruh, kita tak ikut. Tetapi pokoknya kita dalam satu keluarga. Keluarga kita besar, 1Malaysia. Kalau sudah maju dan dibangunkan dengan asas kukuh berdasarkan Perlembagaan negara dan sistem demokrasi berparlimen, apa yang disebutkan dalam Rukun Negara menjadi teras penting dalam pembinaan negara," katanya.
Muhyiddin turut mencabar guru-guru agar berusaha kuat bagi memastikan 100 peratus murid sekolah di negara ini berjaya menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira berbanding 90 peratus pada masa sekarang.
Beliau juga mahu para guru mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada lagi sekolah yang mendapat tempat tercorot dalam sistem pengkelasan yang dijalankan.
"Kalau boleh tak ada lagi sekolah yang berada di tahap enam dan tujuh. Kalau boleh paling rendah ialah lima iaitu tahap sederhana," kata beliau.