KUALA LUMPUR - Ketika desas-desus semakin kuat mengaitkan penghijrahan Cesc Fabregas dan Samir Nasri, pengurus Arsenal, Arsene Wenger tetap melahirkan keyakinan dua permata Gunners itu akan kekal di London.
Pada sidang media Jelajah Asia Arsenal 2011 di sini, semalam, Wenger berkata, terlalu banyak spekulasi mengenai masa depan dua pemain itu sedangkan dia tidak pernah menjelaskan situasi sebenar.
"Saya tidak pernah bercakap mengenai hal dalaman kelab ini tetapi Fabregas amat mencintai Arsenal. Kami tahu cerita mengenai Barcelona kembali berulang pada tahun ini dan kami mahu tutup mengenai perkara tersebut.
"Sekarang, kami mahu memberikan fokus kepada musim baru terutamanya mengenai Cesc Fabregas. Ya, (yakin Fabregas akan kekal). Itu yang saya boleh cakapkan," katanya.
Ditanya mengenai masa depan Nasri, Wenger membalas: "Ya, (jangka Nasri akan kekal). Memang banyak spekulasi apabila pemain hanya tinggal kontrak selama setahun dijangka meninggalkan kelab tetapi Nasri masih gembira di kelab ini dan komited bersama kami.
"Saya harap dia akan menandatangani kontrak baru dengan kami, namun bukan saya yang menentukan perkara berkenaan," katanya.
Fabregas yang berasal dari Akademi Barcelona, diramal pulang ke kelab lamanya, namun wang perpindahan menjadi isu antara dua kelab.
Sementara Nasri, yang kecewa dengan kegagalan Arsenal merangkul sebarang trofi sekali lagi pada musim ini dikaitkan akan menyertai juara Liga Perdana England musim lalu, Manchester United dan kelab yang berbelanja besar, Manchester City.
Wenger dalam masa yang sama mengakui dua pemain Arsenal, penyerang, Nicklas Bendtner dan penjaga gol, Manuel Almunia mungkin akan meninggalkan kelab itu selepas tidak mengikuti Jelajah Asia bersama Arsenal.
"Kedua-dua mereka mungkin akan meninggalkan Arsenal. Mereka masih dalam perbincangan dengan kelab lain. Saya tidak boleh mendedahkan kelab berkenaan," ujarnya.
Bendtner yang gagal merebut tempat dalam kesebelasan utama Arsenal pada musim lalu dikatakan akan berhijrah ke Liga Portugal bersama Benfica sementara Almunia mungkin akan kembali ke La Liga.