KUALA LUMPUR 11 Julai - Pas yang menjadi penyumbang terbesar dalam demonstrasi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kelmarin, langsung tidak memperoleh apa-apa faedah, kecuali terus menjadi kuda tunggangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebaliknya berkata, Pas semakin dibenci oleh masyarakat, khususnya orang Melayu kerana bersekongkol dengan peguam anti-Islam, Datuk S. Ambiga untuk menimbulkan huru-hara demi matlamat politik yang sempit.
Malangnya, tegas beliau, rata-rata pemimpin dan penyokong Pas masih tidak sedar bahawa parti itu dijadikan kuda tunggangan oleh Anwar dan DAP, walaupun sudah banyak petunjuk membuktikan hakikat tersebut kerana hati mereka dikaburi kerakusan untuk berkuasa.
"Bersih bukan menguntungkan Pas, demonstrasi Sabtu lalu itu hanya untuk kepentingan Anwar, bagi memastikan negara huru-hara kerana perbicaraan beliau semakin hampir. Apa yang Pas dapat, tidak dapat apa-apa, lebih teruk Bersih ini turut dipengaruhi oleh tangan-tangan asing.
"Puak-puak ini perlu ada kesedaran, pakatan pembangkang ini hanya untuk kepentingan DAP dan Anwar sahaja atau keseluruhan? Jika dilihat di Sarawak, yang menang besar pada pilihan raya negeri hanya DAP. Pas habuk pun tak menang walaupun bermati-matian membantu DAP.
"DAP hanya menjaga kepentingan sendiri. DAP tidak membantu Pas di kawasan pedalaman dan mereka membolot kesemua kerusi di kawasan bandar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Usahawan Bistari Mara-Ayamas di sini, hari ini.
Hanya dua pemimpin DAP dilihat ikut serta berdemonstrasi manakala Karpal Singh, yang pada awalnya dijangka mengetuai perhimpunan dari Jalan Pudu tidak muncul, menyebabkan ramai pemimpin Pas menjadi mangsa apabila ditahan pihak berkuasa.
Mengenai langkah Anwar menggunakan Bersih bagi menipu rakyat apabila tiada langsung soal tuntutan pilihan raya dibangkitkan semasa demonstrasi tersebut, Mohd. Shafie berkata, memang itu matlamat sebenar ketua pembangkang berkenaan sejak dahulu lagi.
Menurutnya, Anwar sering kali memperalat rakyat demi memenuhi nafsu politiknya, walaupun sedar bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu hanya akan menjerumus negara ke kancah huru-hara, selain tidak memberi sebarang keuntungan kepada orang ramai.
"Dia nak Malaysia ini dilabel sebagai sebuah negara yang tidak selamat, ekonomi tidak stabil dan kerajaan hari ini zalim. Kalaulah kita zalim dalam pilihan raya, bukan sahaja pembangkang, calon Bebas juga tidak mungkin menang, tetapi hakikat adalah sebaliknya," katanya.
No comments:
Post a Comment